Memang takdir itu tidak boleh diteka.

Sekali sekala Saloma memandang ke arah budak kecil perempuan yang bergelak ketawa dengan keluarganya. Nampak begitu gembira sekali. Dengan kulitnya yang cerah, berlesung pipit yang dalam di pipi, ditambah pula dengan rambut ikal mayang yang mengurai hingga ke bahu, nampak comel dan manja.

Sebenarnya Saloma terganggu dengan suara budak kecil yang mengalahkan halilintar memasak bumi itu. Kehadirannya di Taman Rekreasi Ostawa ini sememangnya bukanlah tempat terbaik untuknya melepaskan tekanan. Namun Saloma tiada pilihan. Semakin lama dia berada disitu, semakin gembira hatinya melihat budak kecil itu bermain dengan riang.

Saloma terus memerhatikan budak kecil itu. Tiba-tiba dia terbayang, andai kata dia berkahwin suatu hari nanti, dia teringin benar memiliki anak comel seperti itu. Akan dia berikan sepenuh kasih sayangnya kepada bakal anaknya nanti. Setelah pulang dari kerja, dia akan menemani anaknya itu ke McD, dia juga akan membelikan hadiah-hadiah yang mahal jika anaknya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan. Bukan itu saja, Saloma juga akan memberikan pendidikan yang sempurna buat anaknya, mungkin suatu hari nanti anaknya akan berjaya dalam hidup, dapatlah dia menumpang kesenangan anak itu nanti.

Saloma terus khayal dalam angannya, sampai tersengih-sengih seperti kerang busuk seorang diri. Kalau ada yang melihat, pasti Saloma akan dituduh sebagai orang gila barangkali.

Angannya mati apabila terdengar bunyi hon yang agak kuat, begitu kuat sehingga dia sendiri pun tidak pasti kenderaan jenis apa yang berbunyi seperti kapal selam meletup itu. Mungkin kereta lembu alaf baru agaknya, desis hati Saloma.

Saloma berpaling kearah bunyi itu. Seorang anak kecil melambung dari bahagian hadapan lori kontena itu. Melambung dan…hilang entah kemana. Saloma sendiri pun tidak pasti di mana kedudukan anak kecil itu sekarang.

Nanti dulu. Anak kecil? Anak kecil melambung? Ya! Kepala Saloma sudah berfungsi dengan elok. Anak kecil itulah yang dia perhati sejak tadi, sehingga mencetuskan sebuah angan-angan yang begitu menyimpang jauh sekali. Mata Saloma tiba-tiba menjadi bulat, hampir terkeluar dari tengkoraknya.

Saloma menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya digosok beberapa kali. Dia sendiri tidak percaya dengan apa yang berlaku. Pandangannya beralih kepada beberapa orang yang menangis teresak-esak, sudah tentu itu keluarga budak kecil ini.

Saloma bergegas ke tempat kejadian. Dia berlari-lari mengalahkan menyertai olahraga peringkat daerah pula. Zaman sekolah dulu taknak pula berlari. Didapati budak itu mengalami pendarahan yang sangat banyak, sehingga tidak dapat dikenalpasti muka budak itu masih ada atau tidak, kerana dilindungi dengan darah yang mengalir dari kepalanya.

Melihatkan orang ramai yang begitu lembap seperti mentega itu, Saloma dengan pantas menghubungi ambulan. Terkumat kamit mulutnya bercakap di telefon. Bengangnya masih berbaki dengan orang ramai yang hanya tahu memandang, tapi tidak bertindak. Macam mata ikan kering, tahu pandang saja, tapi tak boleh buat apa-apa.

Saloma mengeluh sendirian.

1 comment: