Dalam merungkai kecelaruan.

Seorang lelaki berdiri tegak tidak berkutik dari tempatnya. Selang lima minit, jam di tangannya dibelek, mungkin risau dengan waktu yang kian berlalu. Wajah lelaki itu jelas terpapar kerisauan, namun disebalik wajah itu tiada siapa yang tahu apa yang bergelodak di hatinya. Mungkin hatinya menangis, ataupun sedang bergembira dengan keadaan yang menimpanya. 


“Encik Fauzi bin Qayyum”, lelaki tadi tersentak saat namanya dipanggil. Seorang jururawat keluar dari bilik bedah.


“Ya, macam mana dengan mak saya? Semuanya okay ke?” peluh merecik dari dahinya.


“Saya minta maaf Encik Fauzi. Tetapi Tuhan lebih menyayangi dia”.


Terduduk Fauzi mendengarkan berita itu. Terkesima. Air liurnya hampir meleleh bersama cecair di matanya. Dia sendiri tidak tahu respon macam mana yang harus dia berikan saat berita itu mencecah gegendang telinganya.


Tidak disangka-sangka, wanita yang menjaganya dengan penuh kasih sayang selama ini telah pergi meninggalkan dia. Untuk selama-lamanya. Yang membuatkannya lebih terkilan, dia tak pernah pun membalas jasa orang tua itu walau seminit. Dan kini dia sangat-sangat menyesal, menangis pun tiada guna baginya. Tapi.. dia menangis jugalah.


“Ya Allah, kau tempatkanlah roh arwah emakku dalam kalangan orang-orang yang beriman”, Fauzi menuturkan dalam perlahan.


Fauzi menyapu wajah dengan tenang. Dia harus menerima semua ini. Cepat-cepat dia mencapai Black Berrynya dalam poket seluar.


“Na, mak dah tak ada”.


“Hah, baguslah! Senang sikit hidup kita. Tak adalah nak menghadap muka dia aje tiap-tiap hari!”.


“Na, saya tengah cakap fasal mak ni. Arwah emak saya! Awak jangan nak cakap ikut sedap mulut je. Dia tu mak saya!”, Fauzi mula naik berang. Kalau ikutkan hati, mau saja dia campak Black Berry itu ke muka jururawat yang sibuk menenungnya. Sudahlah hati tengah panas, sibuk pula nak tahu hal orang lain. ‘Eh kau pergi blahla jururawat!’, desisnya dalam hati.


“Abang, jangan nak berlagak alim la. Ah, lantak awaklah. Mak awak kan, bukan mak saya”, selamba perkataan itu meluncur laju dari mulut isterinya.


Fauzi mengeluh. Cukup marah dan terkilan dengan kata-kata isterinya. Mungkin itulah hasil didikannya. Dia sendiri yang mengajar untuk membenci emak, manusia yang sungguh-sungguh membesarkannya dalam apa cara jua sekalipun, dan hanya sekali membantah tindakannya selama dia hidup hingga hari ini. Emak hanya melarang dia berpindah ke Ireland, kerana takut tidak dapat menahan rindu.


Tapi balasan Fauzi?


Kehidupannya penuh dengan kecelaruan. Semenjak dia berkahwin dengan Johanna, anak pengarah syarikat besar di Selangor, syarikat di mana Fauzi mengukir nama. Dia tahu, pilihannya salah, kerana memilih wanita yang tiada pegangan hidup, yang sering menjadikan disko sebagai rumah keduanya, namun dia tiada pilihan. Atas desakan Dato’ Ghani, bapa Johanna merangkap majikan Fauzi, dia terpaksa berkahwin demi menutup aib keluarga mereka apabila Johanna didapati hamil ketika itu.


Dan, sudah tentulah, bapa kepada bayi dalam kandungan itu tidak dapat dikenalpasti.


Semakin hari, Fauzi semakin lupa akan tanggungjawabnya menanggung keluarga di kampung. Dia sudah menjadi seperti Malin Kundang. Setiap hari Fauzi disuap dengan wang yang banyak, Fauzi juga dipaksa untuk meninggalkan emak dan adik-adiknya di kampung.


Sehinggalah pada suatu hari, adik-adiknya ditimpa kemalangan yang melibatkan sebuah lori dan basikal. (sudah tentulah basikal adik-adiknya, takkan basikal Pak Leman pulak). Emaknya menggagahkan diri untuk menginap di rumah Fauzi buat sementara waktu, kerana tida ada orang yang menjaga makan pakainya. Maklumlah, emak Fauzi mengidap penyakit osteoarthritis, dia tidak berdaya membuat semua kerja seorang diri.


Malangnya, kehidupan emak Fauzi bertambah teruk apabila Johanna bertindak sebagai mem besar di rumah itu. Semua kerja dilambakkan kepada emak Fauzi. Orang tua itu manalah larat, sedangkan hendak menjaga keperluan sendiri pun terbengkalai, inikan pula nak menjaga seisi rumah.


Dari aktiviti membasuh kain, memasak, mengemas rumah, menyiram bunga, sehinggalah menangkap habuk-habuk yang bertempiaran di rumah itu, semuanya terletak pada bahu emak Fauzi. Setiap hari dia menangisi nasibnya. Fauzi jarang sekali pulang ke rumah, kalau dia balik pun, emaknya sendiri tidak sempat menatap wajah anaknya itu.


Kusut! Itulah perkataan yang sesuai bagi menggambarkan apa yang berada di benak Fauzi sekarang. Jeritan telefon yang memanggil-manggil untuk diangkat dibiarkan sahaja. Saat ini Fauzi memang celaru, dia lansung tidak dapat mencerna apa-apa yang berada di mindanya.


******


Selesai pengebumian emak Fauzi, dia menggagahkan untuk pulang kerumah. Biarlah. Biarlah kali ini dia diherdik oleh isteri dan bapa mertuanya, dia redha. Kali ini dia akan menegakkan pendiriannya, dia tidak sanggup lagi menjadi ‘pak sanggup’ yang dayus kerana mempunyai isteri durjana seperti Johanna itu. Sudahlah anaknya itu tidak berbapa, tidak pasal-pasal dia kena tanggung segala-galanya. Kalaulah suatu waktu dahulu dia tidak termakan dengan kata-kata manis Dato’ Ghani, pasti sekarang dia tenang. Pasti dia sedang berada di samping ibunya, bergelak ketawa dan bergembira.


‘Ah, dunia ni memang senang bila wujud perkataan kalau tu’, desis hatinya yang kian bernanah itu.


Semasa memandu, dahinya berkerut memikirkan sesuatu. Kali ini dia memang tekad, dia akan menarik diri dari syarikat bapa mertuanya itu. Apa nak jadi, jadilah. Walaupun dia terpakasa menceraikan Johanna, dia sanggup. Tapi memang itu pun yang dia mahu. Tiba-tiba Fauzi tersengih sendiri.

No comments:

Post a Comment