Gagah.

Kelibat ibunya yang menyapu daun-daun kering di halaman rumah diperhati sejak tadi. Gagah tidak tahu ingin berbuat apa. Hendak mencabut rumput, rumahnya memang tiada rumput. Hendak menolong ayahnya berkebun, tidak logik pada akalnya, kerana mana pernah ayahnya itu mempunyai kebun.  Pada hakikatnya Gagah bengang kerana alat permainannya telah dicuri oleh pekerja India yang mengutip besi buruk. Habis tin-tinnya dikaut sekali.

Beginilah hidup Gagah. Teman sepermainannya cuma tin-tin buruk. Kanak-kanak lain memang tidak ingin sedikit pun berkawan dengannya. Kerana kecacatan yang sedikit, Gagah dipulaukan. Namun Gagah tidak pernah merungut, dia sentiasa gembira bermain dengan tin-tin buruknya, walaupun pada hakikatnya zaman sudah berubah, kampungnya sudah dilengkapi internet, namun Gagah masih dalam dunianya yang tersendiri. Tapi setelah pekerja India itu mencuri tin-tinnya, Gagah menjadi tidak tentu arah. Ibunya sendiri hairan mengapa ada saja orang yang hendak mencari pasal dengan anak tunggalnya itu. Padahal Gagah tidak pernah mengganggu orang lain.

Mengenangkan namanya sahaja sudah mengundang tawa dari orang kampung. GAGAH. Tidak sesuai lansung dengan perwatakannya yang memang tidak gagah itu. Malah dia sering dibuli oleh orang kampung, terutamanya Sameon. Sameon yang merupakan anak ketua kampung itu berasa puas andai dia dapat mempermainkan Gagah. Jika sehari tidak dapat membuli Gagah, dirinya pasti menjadi tidak keruan, mengalahkan tenggiling kehilangan sisik.

“Gagaaahhhh!!” tempik suara yang amat dikenali itu menyedarkan Gagah dari terus termenung. Gagah hampir tercekik air liur sendiri.

Cepat-cepat sahaja Gagah bangun mendapatkan tuan punya suara yang siap sedia bercekak pinggang mengalahkan orang tua sakit pinggang. Ibu Gagah hanya memerhatikan tingkah laku Gagah yang cukup taat pada Sameon. Dengar saja suara Sameon, Gagah pasti bingkas mendapatkan anak ketua kampung itu. ‘Entah apalah yang dia nak lagi’, kata ibu Gagah dalam hati.

“Kenapa Abang Meon?” Tanya Gagah dengan penuh santun, risau jika pemuda itu mengapa-apakannya.

“Kenapa, kenapa. Cepat ikut aku!” Sameon menarik lengan Gagah yang berselirat dengan gelang getah, terus menuju kearah denai yang biasa dilaluinya itu. Petang nanti Sameon akan ke pekan, jadi motornya harus dipastikan bersih berkilat bak kepala Pak Darus, pemilik kedai runcit yang berkepala botak. Gagah disuruh untuk mencuci motornya bersih-bersih, tanpa sebarang kuman, begitulah arahan Sameon.

Sedang ralit mencuci motor Sameon, Gagah terpandang ke arah lengannya. Kemudian mulutnya terkumat-kamit seprti mengira sesuatu. Kemudian pandangannya beralih kepada Sameon yang sedang mengikat rokok daunnya dengan getah.

“Abang Meon, kau ambil jam aku ke?” mata Gagah mencerun memandang Sameon. Jam yang dimaksudkan oleh Gagah ialah getah-getah di lengannya.

“Kenapa pulak kau cakap aku ambil?” suara Sameon tidak berapa jelas kerana dihalang oleh rokok di bibirnya.

“Sebab aku kira tak cukup ni. Kenapa kurang ni? Patutnya ada sepuluh”, begitulah Gagah, kalau mengira mesti sepuluh. Walaupun pada hakikatnya getah di lengannya itu melebihi lima belas urat, dia tetap kata sepuluh.

“Mana kau tahu, kau kan tak pandai mengira. Kau tu bodoh, lahir-lahir aja dah lembap! Tengok aku, tak lama lagi aku nak masuk universiti, bukan macam kau”, Sameon terus-terusan menghinanya.

Gagah tunduk dan terus menggosok motor Sameon dengan gigihnya. Seperti dia yakin sahaja setiap
kuman akan tertanggal.

“Oh ya, mana tin buruk kau tu? Tak main dah dengan tin? Ke kena langgar dengan kereta lembu, terus penyek?” berdekah-dekah ketawa Sameon mengenakan Gagah.

“Tin aku kena ambil dengan India besi buruk”. Gagah menjawab dengan jujur dan tenang sekali. Tidak ada sekelumit pun rasa terhina apabila diketawakan begitu.

Sameon terus-terusan mengetawakan Gagah. Berasa puas kerana selama ini tin-tin itulah yang mengganggu bukan saja ketenangan Sameon, malah ketenangan seluruh penduduk kampung. Naik saja matahari, Gagah pasti sudah keluar rumah sambil membawa tin-tin buruknya itu. Berdentung-dentang bunyi tin-tin itu apabila diseret di atas tanah. Bunyi itu cukup dibenci penduduk kampung, kerana bising ditambah pula dengan perasaan benci yang sedia ada terhadap Gagah.

“Abang, dah siap ni”, Gagah menyapu seluarnya yang terkena tanah.

“Dah tu, tunggu apa lagi? Baliklah! Nak aku sebat pakai penyapu dulu?” keras sahaja suara Sameon.

Laju sahaja Gagah mengangkat kaki dari rumah Sameon. Begitulah Sameon. Menyuruh Gagah macam-macam tapi tak pernah memberi upah kepada budak itu. ‘Biarlah, budak dungu macam tu bukan kenal upah-upah ni’, bisik Sameon sendiri sambil tersengih sumbing.

Sesampai saja di rumah, Gagah terus duduk di pangkin halaman rumahnya, bermain dengan belalang yang ditangkap sebentar tadi di parit tidak jauh dari rumahnya. Begitu asyik dia bermain dengan belalang itu, tanpa sedar air liurnya menitis sedikit demi sedikit.

“Meon ajak abang pergi mana tadi?” ibunya turun dari rumah mendapatkan Gagah.

“Basuh motor”, jawab Gagah tanpa selindung.

Ibunya hanya mengeluh perlahan. Dalam hatinya hanya berasa kesal dengan perlakuan orang kampung terhadap anaknya. Biarlah, suatu hari nanti mereka sendiri akan terima balasannya. Tanpa sedar ibu Gagah menggeleng-geleng sendiri.

No comments:

Post a Comment