Akur

Rumahnya yang luas, adalah paling sempit baginya. Benda yang cantik, menjadi hodoh dipandangan mata. Air mata merupakan temannya, yang memang tak pernah dia sendiri mengerti. Firdaus gagahkan jua untuk terus hidup, demi mencari kehidupan yang dia inginkan selama ini.


Pagi Jumaat yang indah permai itu menjadikan Firdaus malas untuk ke sekolah. Kalau ponteng pun tiada orang yang tahu. Mana pernah selama ini orang lain mengambil tahu halnya. Selain dari Mak Melah, orang gajinya yang menjaga Firdaus seperti anak kandungnya sendiri, sejak dia lahir. Firdaus tersenyum sendiri.


Jalannya dibawa ke sebuah wisma usang tidak jauh dari rumahnya. Dari aras bumbung wisma itu, dia dapat melihat rumahnya yang besar gedabak bagai rumah agam je gayanya. Tapi, besarnya rumah itu tidak dapat membeli kebahagiaan yang dia cari selama ini. Bayangkanlah, ketika dia berumur 3 tahun, ibu bapanya sudah sibuk keluar negara, urusan bisnes kata mereka. Bisnes apa, Firdaus tidak pernah tahu, dan tidak terbit walau sekelumit rasa ingin tahu itu dalam dirinya.


Beginilah Firdaus saat hatinya tidak tenteram. Dia akan membawa dirinya ke aras bumbung wisma ini. Tiada siapa yang mengganggu. Dia lebih suka begini. Hanya ditemani bunyi kesibukan jalan raya dan burung-burung gagak di awangan.


Headphone Audeze LCD-2 dibawa ke telinga. Terangguk-angguk Firdaus mengikut rentak Creed-My Sacrifice yang berlagu di telinganya. Angguk mengalahkan orang berzikir je gayanya. Kakinya menguis sampah yang melekat di kakinya akibat dibawa oleh angin. ‘Malaun manalah yang tak ada sivik ni’, Firdaus geram dengan sesetengah masyarakat yang selalu membuang sampah sesuka hati, bila ada banjir kilat tau pulak nak bising.


 Firdaus mngerling ke arah jam di pergelangan tangan kirinya.


“Dah boleh balik ni”, kata Firdaus sambil terangguk-anguk sendiri. Kemudian mulutnya terkumat-kamit menyanyikan lagu demi lagu yang dipasang.


*****


“Ha, balik pun kamu. Ingat dah tak nak balik-balik dah”, bising suara Mak Melah saat dia melangkah masuk ke rumah itu. Firdaus tersenyum. Kalau bukan Mak Melah, siapa lagi nak menyambutnya pulang, nak memasak untuknya, nak menyediakan segala keperluannya. Mak Melah je yang dia ada sekarang. Nak harap ibu dan ayah dia, tau hulur duit je. Macamlah dia pernah minta.


“Ponteng lagi ya?”, teka Mak Melah sambil tersenyum.


“Apanya, orang pergi sekolahlah”, Firdaus dah menggelabah. Matanya dialih dari renungan Mak Melah.


“Kamu jangan nak berangan lah nak tipu Mak Melah”.


Firdaus terus diam memikirkan itu cara yang terbaik untuknya. Mak Melah ni memanglah.


Hon kereta yang berbunyi di luar mengejutkannya dari memarahi Mak Melah dalam hati.


“Siapa pulak ni”, Mak Melah berlari-lari anak kearah pintu utama.


Kedengaran suara Mak Melah bercakap-cakap dengan seseorang. Begitu serius sekali bunyinya. Tak lama kemudian namanya dipanggil.


“Ye, kejaaapppp”. Firdaus terus ke ruang tamu rumahnya. Mulutnya hampir terlopong melihat tetamu yang tidak diundang itu. Matanya seakan-akan tidak berkelip.


“Ibu, ayah”. Firdaus menyapa mereka dengan penuh santai dan relaks sekali. Sebak tersasa hatinya saat dia menyebut dua perkataan itu. Air liurnya pula seakan tersangkut di kerongkong. Buat apa pulak orang tua ni datang, melawat tengah-tengah hari ni? Tak pernah dibuatnya.


“Ibu dengan ayah sebenarnya nak ajak Firdaus tinggal dengan kami”.


“Buat apa? Taknak lah. Orang suka tinggal sini. Tinggal dengan Mak Melah”.


“Tapi, lebih elok kalau Firdaus tinggal dengan kami. Senang, ada orang nak tengok”.


“Siapa pulak nak tengok?”. Firdaus, naïf sungguh budaknya.


“Maksud ibu, ibu dengan ayah la yang tengokkan Firdaus. Firdaus duduk kat sini, takkan Mak Melah nak jaga Firdaus sepanjang masa?”


Huh. Selama ada diorang pun, aku ni macam anak kutip jugak. Firdaus membuat muka. “Kalau rasa kehadiran orang kat sana nanti bagai patung Mc Donald yang sengih macam kerang busuk tu, ibu dengan ayah lupakan jelah niat tu. Orang lebih bahagia tinggal kat sini. Rasa hidup. Ada orang yang nak jaga makan pakai semua”.


“Hisy, apa kata macam tu kat ibu”, celah Mak Melah.


“Dah la tu ibu, ayah. Orang naik dululah. Dah tak ada apa-apa nak bincang kan?” Firdaus terus mengangkat kakinya menuju ke bilik tidur. Walaupun rumah ini ada enam bilik, yang berfungsinya cuma dua bilik saja. Biliknya dan bilik Mak Melah.


Firdaus terus menuju ke bilik air. Pili air dibuka. Laju saja pergerakan Firdaus mengambil wudhu’. Kini Firdaus mahu melupakan masalahnya. Mahu menghadap Yang Maha Esa. Deruman kereta Volkswagen milik bapanya kedengaran jelas di telinga. Biarlah. Kini, dia mahu menghabiskan sisa hidupnya dengan Mak Melah, bukan dengan orang yang tak bertanggungjawab seperti mereka.


Kalau difikir-fikir semula, kehidupan dialah yang paling tidak berwarna. Dunianya cuma ada Mak Melah, laptop kuning Dell miliknya, ipod, dan beberapa barangan penting. Barang. Ya, barang. Hidupnya dikelilingi oleh barang-barang yang tidak bernyawa, sudah tentu tidak mampu membuatkannya tersenyum, kecuali Mak Melah seorang.


Di sekolah, Firdaus lansung tidak menghirau keadaan sekelilingnya. Dia cuma ingat beberapa nama budak kelasnya, itu pun sebab mereka memang dikenali ramai. Dan dia masih ingat, dia pernah diberikan macam-macam gelaran, seperti mulut kerang, pesakit kusta dan sebagainya kerana sikapnya yang terlalu pendiam dan sering menyendiri. Namun Firdaus tak pernah kisah semua itu. Dia tetap bersyukur kerana dilimpahkan pelbagai rezeki. ‘Allahuakbar’, Firdaus terus khusyuk dalam solatnya.

No comments:

Post a Comment